Aaron Aziz @ Dr Love Kongsi Masalah Cinta Pendengar


KUALA LUMPUR, MALAYSIA – BERITA21.Com: Watak Abang Long dalam filem KL Gangsters bagaikan menepati kerjaya baru Aaron Aziz selaku penerbit rancangan Dr Love di stesen radio EraFM.

Dalam filem KL Gangster Aaron membawa watak bekas banduan yang insaf dengan kejahatan masa lampaunya. Dia kembali mencari ibunya yang tidak dihiraukannya sejak menyertai kumpulan gangster.

Menyedari kesedihan ibu merindui kasih sayang seorang anak, mendorong Aaron kembali ke pangkal jalan.

“Kisah dalam filem KL Gangsters ada kena mengena dengan kerjaya baru saya. Oleh itu saya ingin bersama pendengar berintraksi mengenai soal kasih sayang.

“Memang saya akui amat teruja dengan tawaran ini. Sejujurnya, saya berat menolak tawaran ini kerana ia satu peluang keemasan.

“Saya berjanji akan menjadikan slot ini diminati ramai dan akan lakukan yang terbaik demi pendengar.

“Hubungilah saya, insya-Allah kita akan bersama-sama berkongsi pendapat dan pengalaman menempuhi kehidupan yang mencabar ini.

“Saya harap program Dr Love menjadi tempat pendengar meluahkan isi hati dan saya sedaya upaya cuba merungkaikannya terutama berkaitan hubungan cinta, kasih sayang dan sebagainya dengan sebaik mungkin,” kata Aaron mengenai kerjaya barunya mengendalikan slot Dr Love di EraFM.

Dr Love yang bersiaran selama sejam sejak minggu lalu pada setiap malam minggu, mulai jam 9 malam menjadi medan pendengar berkongsi pahit manis di dalam kehidupan seharian.

Inilah julung kalinya Aaron berkonti di stesen radio popular ini yang turut ditemani deejay lain.

Kehadiran Aaron sebagai keluarga baru EraFM menjadikan stesen radio ini semakin mantap, apa lagi pula ia dibarisi deejay popular seperti Aznil Nawawi (Pak Nil), Salleh Yaakob (SY), Khrill, Kak Engku, Hanif, Ray, Johan Raja Lawak, Zahid AF dan ramai lagi.

“Melalui slot ini peminat boleh telefon dan berkongsi masalah mengenai hubungan cinta mereka kepada saya,” ujarnya.

Sebelum ini sebagai pelakon Aaron tidak terikat dengan mana-mana pihak. Ketika menandatangani kontrak Wajah Eksklusif Astro dia hanya boleh tampil di dalam saluran Astro sahaja.

Tetapi, menerusi pembabitannya sebagai artis naungan Astro dia bebas menerima semua tawaran daripada stesen lain. Isterinya, Diyana Halik, juga masih boleh menguruskan kerjayanya.

“Tidak hanya terhad pada dua perkara itu, Astro juga mengatur segala jadual lakonan saya, malah memberi peluang saya mengendalikan slot radio sendiri.

“Selain itu saya juga kekal menjadi penerbit dan mempromosikan single terbaru saya bersama Sleeq,” katanya yang kini menceburi bidang muzik pula.

Projek pertama Aaron yang disusun Astro dia bakal beraksi menerusi drama 80 episod berjudul Adam & Hawa terbitan Global Station, diikuti beberapa projek drama, filem, muzik video dan juga duta produk.

Dalam diam, Aaron mencipta lagu berjudul Salam Semua, mengenai diri dan keluarganya. Dia akan muncul berduet dengan artis naungannya iaitu kumpulan Sleeq.

Mengaku pada mulanya kurang yakin dan malu menjadi penyanyi, namun dengan sokongan isterinya Aaron bersetuju menyanyikan lagu ciptaannya.

“Saya memang tak yakin jadi penyanyi, tapi saya juga tidak mahu serahkan lagu itu kepada orang lain sebab ia mengenai keluarga saya.

“Saya yang lebih tahu dan boleh menjiwai lagu tersebut,” kata Aaron yang merancang menerbitkan lagu tersebut pada bulan ini.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21