Anith Aqilah: Ibu Paham Impianku


KUALA LUMPUR, MALAYSIA – BERITA21.Com: Peluang berlakon filem arahan Ahmad Idham Nazri bagaikan bulan jatuh ke riba buat pelakon remaja, Anith Aqilah Sulaiman Lim. Apa lagi pula filem Jangan Pandang Pandang itu cukup bermakna kerana ia filem pertama lakonannya sejak bergelar anak seni tiga tahun lalu.

Lebih mesra dipanggil Anith Aqilah, dia yang bakal menyambut ulang tahun ke-20 Jun ini banyak mendapat pendedahan berlakon drama TV, antaranya drama bersiri muzikal Kau Dan Aku musim kedua (KDA2).

Namun, sebelum itu Anith terpaksa memujuk ibunya, pelakon Juhara Ayob membenarkan dia berlakon.

Bekas peserta One In A Million musim ketiga ini sangat berterima kasih kepada ibunya dan berasa bertuah mempunyai ibu yang memahami impiannya.

“Saya bersyukur mempunyai ibu yang memahami cita-cita saya. Inilah pengorbanan yang tak dapat saya lupa,” kata Anith.

Walaupun mengambil jurusan muzik di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara), namun Anith mengakui lebih cenderung dalam bidang seni lakon.

Namun bakat dalam seni suara tidak disia-siakan apabila Anith turut menyanyikan dua lagu untuk runut bunyi KDA2 iaitu lagu Sedar dan Jikalau Aku Masih Ada Di Sini.

“Alhamdulillah, saya rasa seronok dan teruja berlakon dalam drama KDA2 walaupun sedikit stress. Saya rasa bertuah, bersyukur dan beruntung,” katanya yang memegang watak Elena.

Tidak dinafikan, Anith bukan sahaja mendapat pengalaman berlakon dengan pelakon lain malah turut mendapat publisiti dan populariti.

Di sebalik kegembiraan itu, ada perkara lain yang menggusarkan Anith iaitu maklum balas penonton yang sebelum ini menganggap dirinya pesaing utama Mila.

“Ramai kawan-kawan beritahu saya perlu bersedia dikritik kerana ramai anggap saya pengganti Mila.

“Kebetulan pula, Mila tidak lagi berlakon dalam drama ini dan saya pula yang muncul.

“Saya rasa takut dan gementar kerana masih baru dan terus pegang watak utama. Ia satu tanggungjawab besar buat saya,” kata Anith yang pernah muncul dalam filem Senjakala.

Mengenai pengalaman pertama kali beraksi sebagai pelakon teater ternyata memberikan dimensi baru buat Anith. Mungkin rezeki berpihak kepadanya apabila terpilih membintangi muzikal Gamat walaupun wataknya itu baru dicipta.

“Sebenarnya saya sendiri tidak ada pengalaman berlakon. Sudah pasti ia berikan cabaran sangat besar pada saya kerana banyak perkara perlu saya pelajari.

“Membawakan watak anak gamat sesuatu yang begitu mengujakan. Cuma paling saya takuti apabila membuat kesalahan di atas pentas memandangkan penonton dapat mengesan terus kesalahan itu,” kata Anith lagi.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21.Com