Shima Anuar Kikuk Jadi Gadis Sopan


KUALA LUMPUR, MALAYSIA – BERITA21.Com: Bintang utama filem 7 Petala Cinta, Shima Anuar, bangga dapat tampil di khalayak peminat menyarung fesyen muslimah.

Dia mengaku seronok memakai purdah walaupun inilah kali pertama berfesyen begini. Tidak hairanlah Shima menyimpan hasrat untuk terus tampil dengan imej berpurdah pada masa akan datang.

“Saya akui seronok tetapi sedikit kekok apabila berpurdah kerana inilah kali pertama saya tampil dengan fesyen begini.

“Saya tidak menafikan menyimpan hasrat untuk terus berpurdah pada masa akan dating, tetapi bukan sekarang.

Menyentuh watak wanita berpurdah, Shima mengakui ia amat berat sebab sebelum ini tidak pernah bawa watak gadis sopan dan tertib.

Shima atau nama sebenarnya, Noor Hashimah Anuar, rela menerima teguran sekalipun pahit dari peminat ekoran penampilannya itu.

Dia menganggap setiap kritikan dari peminat itu jujur, malah dinanti-nantikan.

“Saya bersyukur kerana Allah beri peluang berlakon filem ini. Memang saya akui terkejut dapat tawaran yang amat bermakna ini.

“Saya cuba buat yang terbaik dan sanggup terima kritikan dari penonton,” kata Shima.

Pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini percaya dapat memperbaiki mutu lakonannya pada masa akan datang.

Bagaimanapun Shima mengakui tidak terlepas dari teguran sutradara filem itu, Azahari Mohd Zain ketika menghayati watak Saidatul Nafisah.

Bakal menyambut ulang tahun ke-21 pada 8 April ini, Shima yang turut mendapat restu ayahnya, Anuar Md Yunus, aktif sebagai anak seni selain bersyukur kerana terus mendapat peluang berlakon.

Sehingga kini anak keempat daripada enam beradik ini sudah menimba pengalaman berlakon dalam beberapa drama TV dan tiga filem.

Antara drama TV lakonan Shima pernah disiarkan di Astro, RTM dan TV9 ialah Klik, Ku Sangka 2 Rupanya 3 dan Impian Raya Emelyn manakala filem yang menampilkannya sebagai watak pembantu pula menerusi filem Flat 3A, Bini-binaku Gangster dan Sumpahan Kum Kum.

Biarpun begitu, Shima tetap terkilan kerana lakonannya dengan imej berpurdah tidak dapat disaksikan ibunya, Aziah Ahmad.

“Itulah antara yang rasa terkilan di hati. Allah lebih sayang ibu. Apapun saya tetap merindui pelukan ibu,”katanya dengan sebak.

Filem 7 Petala Cinta yang memasuki pawagam sejak 15 Mac lalu terus mendapat sambutan peminat. Filem yang diterbitkan oleh Metrowealth Movies ini turut dibarisi pelakon popular seperti Aeril Zafril, Diana Amir, Fizo Omar dan ramai lagi.

Graduan jurusan Seni Lakon Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Puncak Perdana ini bakal muncul dalam filem kelimanya berjudul X.

Filem ini mengisahkan cinta sesama manusia, cinta di antara seorang lelaki dan perempuan, cinta di antara seorang Islam dengan agamanya, cinta di antara seorang ayah dan anaknya dan cinta di antara guru dan pelajarnya.

Dalam diam, Attar lakonan Aeril Zafril menyimpan perasaaan terhadap Saidatul Nafisa, graduan dari Universiti Al Azhar, namun reda apabila Saidatul Nafisa bertunang dengan Hamka, lakonan Fizo Omar.

Ditakdirkan, jodoh Saidatul Nafisa dengan Attar namun pelbagai halangan menghalang hubungan mereka. Dapatkah Saidatul Nafisa dan Attar bersatu? Jangan ketinggalan menonton 7 Petala Cinta sambil menyaksikan kehebatan lakonan Shima sebagai Saidatul Nafisa.

Zaini Zaa/Ft Suhaizul Izhar Ismail/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21