Sayang Zaiton Sameon Selamanya


KUALA LUMPUR, MALAYSIA – BERITA21.Com: Presiden Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez, meminta peminat terus menyayangi penyanyi popular era 80-an Zaiton Sameon, sampai bila-bila, terutama ketika di dalam derita.

“Dulu sayang kat Zaiton, pada masa dia susah janganlah tak sayang pula. Teruskan membantu penyanyi ini.

“Karyawan Malaysia menyeru peminat yang perihatin dengan Zaiton, membantu menjayakan konsert tabung amal penyanyi ini.

“Kami sedaya upaya cuba membantunya dan berharap usaha ini akan mendapat sokongan peminat setia penyanyi ini,” kata Freddie.

Zaiton antara penyanyi yang hidup melarat selepas kemalangan menimpanya 22 tahun lalu, sehingga meragut nyawa anak kesayangannya.

Justeru, Karyawan Malaysia terpanggil mengadakan konsert percuma di Dataran Sungai Kerang, Pantai Remis, Perak pada 7 April ini.

Konsert ini diteruskan di Tanjung Karang, Selangor, di Dataran Raub, Pahang dan dua lokasi lagi yang masih belum kenalpasti.

Zaiton ketika ditemui bersyukur dengan komitmen Karyawan membantu meringankan beban kewangan yang dihadapinya.

“Terima kasih kepada Karyawan Malaysia yang tidak pernah mengabaikan nasib artis-artis susah seperti saya,” kata Zaiton, ketika ditemui, di Hotel Adamson, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ilham konsert ini dicetuskan Azmi Zahari, ahli Karyawan Malaysia, yang turut menampilkan penyanyi Ali Terrarosa serta pelakon dan penyanyi, Bagio Damasutra.

“Kepada artis yang ingin membantu secara sukarela menjayakan Konsert Amal Tabung Kebajikan Zaiton Sameon, sangat dialu-alukan.

“Lebih ramai artis, lagi bagus. Hari ini hari dia, esok mungkin giliran kita pula, mana tahu,” kata Azmi.

Hadir pada majlis itu ialah Penasihat Karyawan, Datuk Dr Mohammed M Daud yang turut dilancarkan Tabung Kebajikan Zaiton Sameon.

Peminat dan para dermawan yang ingin membantu Zaiton, boleh menderma terus ke akaun peribadi atas nama Zaiton Sameon di akaun Bank Simpanan Nasional 14192-41-00003343-0.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Azmi (012-2280479) atau Ahmad (014-7176276).

Zaini Zaa/Foto Suhaizul Izhar Ismail/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21.Com