100 Kartunis Cipta Sejarah Setelah 50 Tahun


Malaysia – Berita21.Com: TANGGAL 11 Mac menjadi detik sejarah bagi para penggiat industri kartun Malaysia. Pertemuan julung kali ini berjaya menggamit ramai kartunis dan animator menghadiri program Santai Petang bersama Lat dan kartunis Malaysia.

Pertemuan yang diadakan di Hotel Royale Bintang Damansara ini turut mengundang karyawan lama yang berkarya sejak era 60-an lagi.

Antaranya, Datuk Lat, Sulaiman Awang, Rizalman, Mishar dan penggiat awal animasi tempatan seperti Hassan Mutalib, pelukis Azman Yusof, Zainal Buang Hussien, Don serta ramai karyawan muda masakini.

Sebagai pencetus ilham program ini, Lat melihat perkembangan industri kartun tanah air, berkembang dengan segar dengan kemunculan ramai kartunis muda berbakat

Lat yang mula berkarya awal 60-an, menyifatkan pertemuan karyawan dari lima dekad bermula dari tahun 60-an hingga era 2000, sangat bermakna dan bakal menjana semangat baru bagi industri kartun Malaysia seluruhnya.

“Saya mengambil inisiatif menganjurkan pertemuan kartunis ini, kerana sudah lama tidak diadakan.

“Malahan ada di antara kartunis yang hadir tidak saya ditemuinya sejak berbelas-belas tahun.

“Selain itu objektif program ini menjadi jambatan menghubungkan silaturrahim di antara karyawan dalam industri kartun tempatan, baik yang veteran mahupun yang baru,” kata Lat.

Pengasas Malaysian Cartoon Parade, M Nayan yang juga penyelaras pertemuan ini, bersyukur pertemuan keluarga kartunis dan animator lama dan baru amat bermakna.

“Saya harap program ini akan diadakan pada masa hadapan sekiranya mendapat sokongan syarikat penerbitan majalah dan akhbar.

“Ia sebagai dorongan kepada karyawan kartun Malaysia bekerja lebih keras demi kemajuan industri kartunis setanding hasil karya luar negara yang lebih lama dan maju.

“Lebih dari itu, pertemuan seumpama ini dapat membuka ruang dan peluang para karyawan meluaskan lagi hubungan sesama mereka.

“Di samping itu menjadi titik awal kerjasama pada masa hadapan ke arah perkembangan industri kartun serta menjana pendapatan di kalangan kartunis,” katanya.

Sejarah 11 Mac mungkin kecil berbanding pelbagai peristiwa lain yang berlaku. Namun bagi Lat dan karyawan muda lain, berharap tarikh ini dapat diraikan pada setiap tahun sebagai Hari Kartunis dan Animator Malaysia.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Foto: Mazlan Abdullah/Hatta Sanie/B21.Com