Brenda Terima Kritik Penggemarnya


Malaysia – Berita21.Com:PENDATANG baru, Brenda Anura Lundo Jamin atau lebih mesra dengan panggilan Brenda, merayu peminat tidak salah anggap dengan tajuk lagu single pertamanya, Mulut Longkang.

Berasal dari Kudat, Sabah, Brenda mengakui kecewa mendengar kritikan segelintir mereka yang kurang senang dengan tajuk lagu itu.

Bagaimanapun Brenda tetap terima semua teguran itu dengan hati terbuka sekalipun terasa pedih.

Meminati aliran muzik hip pop, gadis berusia 18 tahun ini optimis dengan sindiran negatif masyarakat terhadapnya dan sekali-kali tidak akan berputus asa dalam mengejar impiannya menjadi penyanyi terkenal.

“Pada mulanya saya agak kecewa apabila ada pihak kecam tajuk lagu itu tanpa mendengarnya terlebih dahulu.

“Sepatutnya sebelum kritik elok dengar dulu apa sebenarnya di sebalik tajuk Mulut Longkang tu,” ujarnya penuh azam tidak akan berputus asa dengan kritikan itu.

Menurut Brenda, lagu Mulut Lonkang mempunyai elemen nasihat kepada individu yang suka menyebarkan fitnah.

“Mungkin judul lagu Mulut Longkang itu agak kasar bunyinya, membuatkan orang ramai beri persepsi negatif sedangkan ia sarat dengan mesej berguna,” katanya.

Sepupu kepada penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh ini tetap bersyukur kerana lagu itulah membuatkan masyarakat ingin mengetahui mengenai dirinya dan seterusnya mendengar lagu tersebut.

Kini Brenda berhijrah ke Kuala Lumpur sejak April lalu demi memudahkan langkahnya memenuhi jemputan mengadakan promosi dan persembahan pentas.

Meskipun begitu, Brenda mengakui kurang rapat dengan Marsha, namun dia tetap berbangga dengan kejayaan sepupunya itu dalam kerjaya seni.

“Bapa saya dan Marsha adik-beradik. Sejak orang tua bercerai saya dijaga ibu, sebab itu saya tidak begitu rapat dengan keluarga sebelah ayah termasuk Marsha.

“Apabila ramai tahu hal ini ada yang menganggap saya cuba menumpang popularitinya,” katanya.

Dalam pada itu, Brenda tetap gembira apabila dipilih merakamkan semula lagu Gerimis Mengundang yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Slam untuk filem dan teater muzikal dari tajuk sama.

Brenda berharap lagu itu dapat melonjakkan lagi namanya di kalangan peminat muzik tempatan, namun enggan dibandingkan cara nyanyiannya dengan penyanyi asal.

“Hampir setahun dalam industri masih ramai belum mengenali saya, harap-harap lagu ini boleh lonjakkan nama saya,” tambahnya yang turut muncul dengan single terbarunya berjudul Manusia Biasa.

Untuk berjaya Brenda sedar seseorang itu perlu menempuh pelbagai dugaan. Cuma dia berharap tidak diganggu dengan kontroversi yang kurang menyenangkan.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21.Com