Penggemar Nantikan Salma Kembali


Malaysia – Berita21.Com: WALAUPUN bergelar juara Mentor musim kelima namun nama Salma A Asis terus tenggelam selepas menjulang gelaran itu.

Lebih mesra sebagai Salma, protégé Erra Fazira ini mengakui sejak meninggalkan program Mentor dia kurang mendapat publisiti sehingga peminat tertanya-tanya.

“Saya tak nafi ramai peminat bertanya kenapa senyap kebelakangan ini, tanpa berita dan perkembangan terbaru.

“Memang saya sedari sejak meninggalkan Mentor saya kurang publisiti.

“Tapi tidak bererti cerita saya tak disiarkan di dalam akhbar dan majalah, mungkin wartawan tidak berminat tulis cerita tentang saya,” tambahnya.

“Tak semestinya menjadi juara akan terus naik. Semuanya bergantung pada rezeki yang Allah tentukan. Lagipun saya masih baru dalam dunia seni.

“Saya sanggup menunggu. Saya percaya jika kita sabar, Insya-Allah kita akan kekal berada di dalam dunia seni ini,” katanya.

Menurut Salma, dia tidak ada masalah apa-apa dengan wartawan. Lagipun, kata Salma, wartawan tulang belakang kerjaya seninya.

“Tanpa wartawan saya tak akan dikenali,” katanya lagi.

Sebenarnya, akui Salma, kebelakangan ini kesihatannya kurang mengizinkan.

Selain, Salma mengakui takut menceburi bidang lakonan dan sebab itu dia mahu beri tumpuan lebih dalam seni suara.

Penyanyi kecil molek berusia 22 tahun ini menyifatkan dunia lakonan begitu mencabar berbanding seni suara.

Jika ditawarkan berlakon, Salma memerlukan masa untuk belajar serta mendapat bimbingan dari mereka yang mahir.

“Bagi saya dunia lakonan perlukan komitmen lebih serius. Saya tak boleh mencuba-cuba.

“Memang saya takut berlakon. Lagipun hati saya belum terbuka untuk melangkah ke dalam bidang ini. Buat masa ini belum ada impian bergelar pelakon,” katanya.

Bagaimanapun Salma tidak menolak jika ada tawaran menarik dengan watak yang sesuai kerana ia dapat menguji bakat berlakon.

Salma bersyukur kerana masih mendapat bimbingan dari bekas mentornya, Erra Fazira.

“Kak Erra masih bimbing saya sampai sekarang. Saya memang berterima kasih kepada Kak Erra kerana sering ambil berat,” katanya lagi.

Menyentuh peluang merakam lagu bergenre rock, Salma berkata dia sanggup mencubanya, tetapi bukan sekarang.

“Kalau boleh saya nak cuba semua jenis genre lagu, tapi kenalah perlahan lahan.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki saya akan cuba yanyikan lagu bergenre rock,” katanya yang gemar beli-belah pada masa lapang.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21.Com