DJ Ninie KLFM Buka Restoran


Malaysia-Berita21.Com: AKHIRNYA impian deejay radio KLfm, Ninie Ibrahim, menjadi tauke restoran menjadi kenyataan. Tanggal 13 April lalu, Restoran d’One Corner milik Ninie dibuka dengan rasminya, sekaligus menobatkan dirinya sebagai usahawan muda.

Inilah cita-cita Ninie yang tersemat sejak di bangku sekolah lagi selain dibantu sikap rajin di dapur dan gemar menikmati masakan tradisi.

“Saya teruja kerana impian membuka restoran akhirnya tercapai. Lebih gembira lagi, pembukaan restoran ini serentak dengan majlis sambutan ulang tahun ke-66 RTM dan rancangan popular di KLfm, Teh Tarik Satu.

“Sokongan rakan-rakan deejay dan peminat memberi kekuatan untuk saya majukan restoran ini.

“Saya harap ia menjadi restoran popular di kalangan pengunjung dan pendengar stesen KLfm,” kata Ninie.

Meskipun sibuk di konti dan sebagai pengacara rancangan Pilihan Aktif yang bersiaran setiap Selasa, jam 4 petang menerusi Astro saluran 180, Ninie yakin dapat membahagikan masa dengan teratur.

“Apapun saya tetap beri keutamaan pada kerjaya sebagai penyampai radio kerana ia memberi kepuasan dapat berintraksi dengan pendengar.

“Hanya selepas habis bersiaran barulah saya beri komitmen di restoran. Lagipun keluarga turut menguruskan restoran ini,” katanya.

Mula menjadi ahli keluarga KLfm sejak 1 Jun 2008, selain pengacara Pilihan Aktif, Ninie yang baru menyambut ulang tahun ke-29 Februari lalu, juga terlibat dengan program Ikon Tvi.

“Selepas empat tahun menjadi ahli keluarga KLfm saya akui masih banyak perkara yang perlu dipelajari.

“Bukan itu sahaja, saya harus merebut peluang menimba ilmu dari penyampai radio berpengalaman,” kata Ninie yang turut berpasangan dengan deejay Sonic ketika mengendalikan rancangan Ikon TVi.

Bagi yang ingin menikmati masakan tradisi alaf baru berkunjunglah ke Restoran d’One Corner, yang terelatak di No 20, Jalan Anggerik Vanilla BE31/BE, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.

Pelbagai menu masakan kampung disediakan, malah pengunjung berpeluang menikmati juadah yang jarang ditemui di mana-mana restoran.

Antaranya, masakan popular ayam kampung goreng rangup, nasi impit daging hitam, lempeng asam pedas, nasi goreng mr crab, air trafik light, teh tarik dan sebagainya.

Menamatkan pengajian pada 2007 di UiTM, Shah Alam, Selangor, Ninie juga mengakui hasratnya membuka restoran pernah mendapat tentangan namun berbekalkan sikap degil dan sedia menyahut cabaran, tidak mematahkan semangatnya itu.

“Saya akui ada orang tidak yakin dengan kemampuan saya. Namun saya percaya kalau kita berusaha gigih insya-Allah akan berjaya,” katanya.

Ninie bangga kerana majlis pembukaan restorannya itu turut dihadiri dua tokoh terkenal RTM, iaitu Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Nor Hayati ….. dan Ketua Bahagian Radio, Muhammad Mat Hussin.

“Kedatangan mereka memberi sokongan moral dan cukup besar impaknya kepada saya,” katanya lagi.

Oleh Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21