Kaka Takut Kontroversi


Malaysia-Berita21.Com: SEKALIPUN mempunyai pertalian rapat dengan ratu rock negara, namun Kaka lambat mencipta nama di bidang seni. Semuanya disebabkan gadis berusia 23 tahun dari Kelang ini takut dihembat kontroversi sebagaimana berlaku ke atas dua ibu saudaranya, Ella dan Korie.

Menariknya, walaupun takut dengan kontroversi, namun dia akhirnya dikenali ramai disebabkan kontroversi lagu Bawaku Pergi yang dinyanyikannya bersama Zizan Raja Lawak.

Walaupun diharamkan di semua stesen radio namun klip video lagu itu yang sempat disiarkan di Youtube khabarnya telah ditonton lebih 800,000 peminat.

Itulah Kaka, pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff yang kini benar-benar dihambat kontroversi disebabkan lirik lagu singlenya itu dianggap keterlaluan.

Pada mulanya Kaka mengakui kurang yakin menyanyikan lagu Bawalah Pergi, namun setelah mendapat galakan dari Zizan Raja Lawak dan komposer Malique (Too Phat), akhirnya Kaka bersetuju.

“Dari situlah Kaka dapat keyakinan dan bersetuju merakamkan lagu itu Disember lalu,” katanya yang mengaku mula meminati bidang nyanyian sejak usia lapan tahun.

Kata Kaka, kali pertama dengar lagu itu dia sudah suka. Baginya, lagu Bawaku Pergi bukan saja ‘catchy’ tetapi liriknya membawa maksud mendalam iaitu kebebasan.

Pada tafsiran Kaka, lagu ini bercerita mengenai mereka yang ingin keluar daripada belenggu masalah.

“Kaka sangat terima kasih kepada Zizan dan Malique,” katanya yang kini bernaung di bawah pengurusan Wire Fame.

Namun masalah baru Kaka apabila dia sering dianggap meniru aksi makciknya, Ella.

Dari segi perwatakan, gadis berbintang Taurus ini mengaku sentiasa ceria dan gemar ketawa seperti Ella, namun dia tidak suka peminat menuduhnya cuba menumpang populariti Ella.

“Saya tak mahu dikaitkan dengan Ella sekalipun dia makcik saya. Saya mahu berjaya atas usaha sendiri.

“Saya sedar ramai kata saya tumpang tuah Ella. Saya minta peminat melihat kemunculan saya kerana bakat bukan disebabkan sesiapa,” kata Kaka.

Bukannya tidak berbangga ada pertalian darah dengan ratu rock negara, namun Kaka tidak mahu dianggap menumpang populariti Ella.

“Persamaan yang orang nampak dari segi imej Kaka dan Ella perkara biasa.

Ayah Kaka, Nor Azraff Aminuddin adalah abang Ella dan sejak kecil Kaka membesar bersama adik-beradik arwah ayah, sudah tentu sedikit sebanyak ada persamaan.

Tapi, kata Kaka, dia terjun ke bidang seni ini bukan nak tiru atau menyaingi sesiapa termasuk makciknya, Ella.

“Kaka hanya mahu berkongsi apa yang Kaka ada. Kaka suka menyanyi dan mahu orang mendengar Kaka dengan corak nyanyian dan muzik pilihan Kaka sendiri,” katanya yang mengaku teruja setiap kali menonton persembahan Ella.

Menurut Kaka, dia berjuang dalam bidang seni bagi memenuhi keinginannya yang sudah terbuku sejak kecil selain meneruskan perjuangan arwah ayahnya.

“Kaka ingat lagi, ketika hayat ayah masih ada dia suka bermain gitar dan menyanyi.

“Bila Kaka ikut menyanyi ayah selalu puji suara Kaka. Memang kami adik-beradik tahu ayah berharap sangat salah seorang anaknya menjadi penyanyi.

“Dalam empat beradik, Kaka paling meminati muzik. Pelbagai pertandingan pernah Kaka sertai, antaranya One In A Million, tapi hanya melepasi peringkat awal saja,” katanya.

Oleh Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21