Myza Gadis Silat Romantis


Malaysia-Berita21.Com: Jika diberi pilihan antara watak romantik atau lasak, sudah tentu bintang baru bernama Myza Aryqa ini pilih melakonkan adegan lasak dan tangkas.

Berbekalkan ilmu seni Silat Gayung Patani yang dipelajarinya selama 10 tahun, Myza berasa bangga dapat membawa imej seni persilatan ke gelanggang filem seperti dilakukan aktres popular antarabangsa, Datuk Michelle Yeoh.

Anak sulung kelahiran Kuala Lumpur ini menimba banyak ilmu persilatan di Ampang, Selangor sehingga bergelar jurulatih.

Myza atau nama sebenarnya, Siti Maizatul Rafiqa, yang pernah muncul dalam filem Momok…Jangan Panggil Aku dan Jiwa Taiko, berharap bakat sebagai pesilat dapat membantu kerjaya lakonannya di masa hadapan.

“Saya bangga menjadi pelakon wanita yang berkebolehan dalam seni silat. Diharap ia membuka peluang saya mencipta nama di persada lakonan hingga ke peringkat antarabangsa seperti Datuk Michelle Yeoh,” ujarnya penuh harapan.

Bagaimanapun Myza sedar untuk menggapai kejayaan itu memerlukan usaha gigih dan pengorbanan.

Myza mula berlatih sejak usia 14 tahun lagi dan sering diberi peluang menyertai pelbagai pertandingan silat.

“Suatu hari saya dipelawa berlakon watak utama dalam drama Camar Putih terbitan RTM.

“Sejak itu semangat saya membara dan mahu jadikan kelebihan ini sebagai tiket berlakon drama dan filem aksi,” kata Myza yang memegang watak Apple, rakan baik Diana Danielle dalam filem Jiwa Taiko arahan Osman Ali.

Bakal menyambut ulang tahun ke-25 pada 12 Mei ini, Myza tidak terkecuali berhadapan dengan kontroversi yang hampir memusnahkan karier seninya.

“Ada pihak tidak bertanggungjawab mencipta satu akaun laman sosial menggunakan nama dan gambar saya, kemudian mengaku sebagai lesbian.

“Mujurlah kawan saya menyedarinya lalu minta saya buat laporan polis,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, individu yang membuat akaun palsu itu gagal dikesan sehingga kini.

“Apapun saya bersyukur kerana dengan pendedahan ini menyelamatkan karier lakonan saya,” kata Myza mengenai cabaran bergelar artis.

Model iklan TV ini mengakui tidak mampu lari daripada orang yang mempunyai hasad dengki terhadapnya.

“Apa yang mampu saya lakukan ialah lebih berhati-hati dan berdoa agar Allah menjauhkan musibah seperti ini menimpa saya,” kata pelakon telemovie Di Pintu Barzakh.

Selain drama Camar Putih, Myza pernah berlakon drama komedi 13 episod berjudul Pelan MB dengan memegang watak Cat bersaman pelakon popular Roy Azman,

Almy Nadia, Julia Ziegler, Bell Ngasri dan ramai lagi.

Mewarisi bakat seni dari ibunya, bekas pelakon teater era 80’an, Myza menjadikan keluarga sebagai sumber inspirasi.

Lebih membanggakan, ibu bukan saja merestui karier seninya, malah sering menemaninya di lokasi sebab bimbang berlaku kecederaan seperti pernah dialaminya dahulu apabila lututnya cedera ketika melakonkan adegan lasak.

“Tapi kejadian itu tidak mematahkan semangat saya. Lagipun berlakon adegan lasak memang kesukaan saya berbanding drama romantik.

“Setahu saya boleh dikira pelakon wanita yang mempunyai asas dan pengalaman seni silat.

“Sebab itulah saya berazam mahu mengikuti jejak Michelle Yeoh yang pandai berlakon terutama seni mempertahankan diri,” kata pelakon telemovie Datang Bulan ini.

Pernah berlakon drama bersiri Roda Roda Kota raya, Gerak Khas, Myza sebenarnya mempunyai bakat sebagai pemain gitar solo dan juga merupakan penyanyi Kumpulan Band PDRM Pudu, Kuala Lumpur.

Dia yang kini menetap bersama keluarga di Pandan Jaya, Kuala Lumpur, pernah menyertai rancangan realiti Mentor TV3 tahun lalu namun gagal. Namun kegagalan itu sedikitpun tidak melemahkan semangat Myza.

Oleh Zaini Zaa/Foto by Suhaizul Izhar Ismail/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21