Najwa Kesal Karena Bajunya Dikritik


Malaysia-Berita21.Com: Bintang remaja sensasi, Najwa Latif berjaya mencipta nama secara mendadak sebagai penyanyi selepas lagu Cinta Muka Buku popular dan menjadi siulan peminat dalam masa singkat.

Namun, Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif kini dibelenggu kritikan gara-gara cara berfesyen ketika mengadakan persembahan.

Kalangan peminat menganggap imej berpakaian Najwa tidak sepadan dengan usianya baru 17 tahun.

Terbaru, Najwa dikecam hebat ekoran busana rekaan Wan Huzairil yang diperagakannya pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-25 (ABPBH2011), baru-baru ini.

Selain popular dengan lagu Cinta Muka Buku, dua lagu baru Najwa iaitu Carta Hati dan Kosong juga sering diputarkan di beberapa stesen radio.

“Pemilihan imej saya berpakaian tidak hanya ditentukan oleh kakak. Ia melibatkan pihak pengurusan dan saya sendiri.

“Tidak adil menuduh kakak menjadi punca kepada masalah imej dan fesyen saya.

Sebenarnya, kami akan berbincang terlebih dahulu sebelum saya menghadiri apa-apa acara hiburan. Orang ramai sudah salah faham tentang perkara ini.

“Jadi saya harap janganlah kaitkan kakak saya sebagai punca kecelaruan pada fesyen dan penampilan saya selama ini,” kata Najwa.

Penyanyi ini yang mengakui mengakui masih banyak kelemahan pada penampilan dan berusaha untuk memperbaikinya pada masa akan datang.

“Lagipun saya masih baru dan tercari-cari fesyen yang sesuai dan sepadan. Namun, saya tidak berkecil hati walaupun segelintir pihak masih mempertikaikan imej saya,” tambahnya.

Menyentuh lirik lagu Kosong, dia menganggap lirik tersebut memberikan semangat dan motivasi kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya agar tidak berputus asa apabila diri diperkecilkan.

“Lirik lagu itu dihasilkan bersama kakak saya, Ika. Dia menghasilkan lirik itu ketika melihat saya sedang bersedih dan tertekan dengan pelbagai cabaran dalam bidang nyanyian ini.

“Saya sering berkongsi dengan kakak apa juga masalah atau kesedihan yang saya hadapi. Mungkin daripada situ dia mendapat ilham menulis lirik lagu itu,” kata Najwa.

Menurut Najwa lirik lagu ini bukanlah menyindir mana-mana pihak. Mungkin daripada lirik itu ada orang menyangka ia berupa luahan perasaan untuk menyindir segelintir pihak yang memperlekeh atau mengkritiknya selama ini.

“Hakikatnya, bukan begitu kerana ia sebuah lagu motivasi dan pemangkin semangat kepada sesiapa sahaja yang berasa diperlekehkan agar tidak mudah mengalah,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat Johor.

Sementara itu Najwa mengambil keputusan berehat panjang dalam dunia seni bagi menumpukan persiapan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

“Insya-Allah, apabila saya aktif semula selepas tamat SPM nanti saya akan tampil dengan kelainan,” kata penyanyi yang akan menyambut ulang tahun ke-17 pada 23 Mei ini.

Oleh Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21