Johan Dan Nabila Masih Bersahabat


MALAYSIA – BERITA21.COM: Pelakon sensasi, Johan Asaari tidak menolak jika ditakdirkan jodoh dengan anak Raja Rock Amy Search, Nabila Huda.

Namun buat masa ini, pemenang anugerah Pelakon Drama Lelaki Terbaik ABPBH 2001 ini lebih selesa bersahabat dengan Nabila tanpa membabitkan soal cinta.

“Status saya dengan Nabila hanya sebagai sahabat sahaja. Tidak lebih dari itu. Secara peribadi, saya anggap Nabila seorang wanita yang baik.

“Buat masa ini kami tak nak bercinta, biarlah kekal menjadi sahabat. Tapi kalau dah ada jodoh kena terimalah,” kata Johan yang lebih dikenali sebagai Botak menerusi drama bersiri Juvana.

Johan yang pernah berikrar mahu menumpukan pada karier lakonan dan enggan bercakap mengenai alam perkahwinan, memuji Nabila sebagai wanita cantik dan mempunyai sikap amat disenangi.

“Kalau tanya tentang ciri-ciri calon isteri, saya hanya mahu seorang wanita yang taat segala-galanya. Itu sahaja,” kata Johan.

Akhbar Mingguan Warta Perdana pernah menyiarkan temubual ibu pelakon ini, Datin Firdaus Abdul Kadir, mengenai calon menantu.

Menurut Datin Firdaus, tidak menjadi halangan sesiapa saja bakal calon isteri Johan. Malah keluarga merestui siapa pilihan Johan.

Sebelum ini, Raja Rock Malaysia, Amy Search, pernah menyatakan kesediaanya menerima Johan sebagai menantunya.

Amy menganggap Johan sebahagian ahli keluarganya dan turut membawanya dalam rombongan melancong ke Jepun baru-baru ini.

Johan yang kini sibuk di lokasi filem keduanya, Tokan, gembira filem pertamanya, Juvana, yang diangkat dari drama TV, kini dalam proses penyuntingan.

Filem arahan Faizal Ishak ini turut membariskan pelakon asal drama ini seperti Bront Palare, Zahiril Azim, Irfan Roslan, Beto Khusairy dan ramai lagi akan memasuki pawagam hujung tahun ini atau tahun hadapan.

“Saya bersyukur, akhirnya dapat juga melangkah kaki ke layar perak. Lebih teruja kerana tahun ini dua filem lakonan saya serentak menjalani penggambaran.

“Saya akui takut melakukan kesilapan. Maklumlah inilah pengalaman pertama berlakon filem. Nasib baiklah sutradara filem ini, Faizal sedia bimbing saya sejak dari lokasi drama lagi.

“Bagi saya, beliau seorang sifu yang baik dan selesa berlakon drama atau filem arahannya,” kata Johan yang mengidam watak penyiasat canggih seperti drama TV popular CSI.

Oleh ZAINI ZAA /WARTA PERDANA /HATTA SANIE /B21