Bella Daly Tolak Peran Wanita GRO


MALAYSIA-BERITA21.COM: Selepas tiga tahun bergelumang sebagai anak seni dengan pelbagai watak, akhirnya Bella Daly mengambil keputusan menolak melakonkan watak wanita GRO.

Pelakon berusia 21 tahun dari Kota Kinabalu, Sabah ini juga mengelak melakonkan watak penagih dadah dan wanita jahat.

Bella atau nama sebenarnya, Nabilah Ali Daly sedar akan dituduh sombong, tetapi dia berbuat demikian demi menjaga nama baik ibu dan ayahnya. Dia yakin tindakan itu tidak menjejaskan peluangnya berlakon dengan mana-mana pengarah.

Bakat Bella mula dicungkil apabila dia melangkah ke pentas Pilih Kasih musim pertama pada 2009 dan berjaya meraih tempat keempat. Ketika itu Bella baru berusia 18 tahun.

“Sudah sampai masanya saya lebih berhati-hati memilih watak yang sesuai.

“Jangan salah sangka, saya bukan bersikap besar kepala, cuma mahu elakkan watak negatif seperti menjadi wanita GRO atau penagih dadah,” ujarnya berterus-terang.

Sebelum ini Bella pernah bawa watak itu, tapi kurrang disenangi ibu bapanya. Mereka anggap kurang manis apabila tonton di TV.

“Sebagai anak, tentulah saya tidak sedap hati apabila orang tua tidak merestui apa yang saya lakukan.

“Sejujurnya saya sendiri tidak selesa bawa watak yang terlalu liar, jahat atau mendedahkan tubuh badan.

“Kalau boleh saya mahu lebih banyak watak yang baik dan positif selepas ini,” kata pelakon yang mempunyai darah kacukan Pakistan dan Filipina ini.

Anak bongsu daripada dua beradik ini gembira mendapat restu keluarga dan sokongan peminat. Malah dia bersyukur kerana sehingga kini tawaran berlakon tidak pernah putus.

Lakonan terbaru Bella dapat disaksikan dalam drama bersiri Friday I’m In Love yang disiarkan setiap Khamis jam 8.30 malam di TV9.

“Saya menghargai sokongan peminat sejak dulu lagi. Inilah yang membuatkan saya gembira, apatah lagi baru-baru ini ditawarkan pengarah drama terkenal, Along Kamaludin memegang watak Natrah.

“Memang berdebar dan teruja juga menggalas watak itu. Tetapi demi menyahut cabaran itu, saya terima malah bangga dengan penghormatan ini,” kata pelakon drama bersiri Qalesya musim kedua.

Drama 13 episod Natrah yang bakal disiarkan di RTM tidak lama lagi memberi peluang Bella menghidupkan watak utama sebagai Maria Huberdina Hertogh pada zaman mudanya.

“Sebagai orang baru, saya bersyukur dengan peluang yang diberikan kerana ia sebuah naskhah besar dan bersejarah,” katanya.

Mengenai hubungannya dengan aktor Nazim Othman, Bella berkata sikap memahami dan mengambil berat aktor itu membuatkan dia berasa selesa.

“Kami pernah berlakon bersama tetapi tidaklah rapat ketika itu. Kami mula rapat dan berhubung selepas menjalani penggambaran drama Inspirasi Varsiti.

“Saya senang dengan sikap Nazim yang sangat memahami. Dia seorang lelaki yang matang dan banyak memberikan nasihat dan bimbingan.

“Hubungan kami memang diketahui keluarga. Saya juga tiada masalah berkongsi kisah hubungan kami dengan khalayak kerana ia tidak akan menjejaskan kerjaya,” kata pelakon drama Vanila Coklat ini lagi.

Selain drama 6 Progresif, Serapah Darah Bulan Madu,Sehelai Rambut Dibelah Tujuh dan Jangan Bunuh Matahariku, Bella turut muncul dalam filem Seru dan filem versi baru Gila-Gila Remaja.

Oleh Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21