Impian Tasha Shilla Bawa Pengemar Ke Perth


MALAYSIA-BERITA21: Satu-satunya impian besar yang tersemat di hati pelakon Tasha Shilla ialah membawa peminatnya bercuti ke Perth, Australia. Percutian itu sebagai hadiah kepada peminat kerana terus memberi sokongan kepada karier seninya.

Sayangnya, hingga kini impian itu belum mampu dilaksanakan disebabkan kesibukannya di lokasi penggambaran drama TV dan filem.

Tasha sebelum ini berpeluang ke Perth hampir seminggu kerana menjalani penggambaran telemovie Landasan Cinta dan dia mahu kenangan indah itu dikongsi bersama peminat setianya.

“Alhamdulillah, memang Tasha teruja sangat dapat ke sana. Inilah impian Tasha selama ini.

“Sayangnya, Tasha ke sana tanpa peminat,” ujarnya.

Tasha berharap dapat membawa peminatnya bercuti ke Perth suatu hari nanti,” katanya sambil berterima kasih kepada peminat kerana menonton telemovie Landasan Cinta.

Tasha, 25, dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2011, menewaskan empat pelakon popular baru-baru ini. Dia percaya kejayaannya itu kerana membawa watak wanita jahat dalam drama bersiri Sahara.

Bermula dengan kemunculan sulungnya dalam drama bersiri Gemilang awal tahun lalu, Tasha yakin sama ada watak baik atau jahat dia mampu menghidupkannya sepenuh jiwa.

“Tasha sedar ada penonton sukakan watak wanita jahat seperti dalam Sahara. Bagi mereka watak jahat lebih berkesan dan mudah orang ingat.

“Namun baik atau jahat, Tasha akan cuba hidupkan watak dengan berkesan. Lagipun kena ikut skrip sebab lakonan tanpa penghayatan membuatkan penonton tidak puas hati,” katanya.

Walaupun ABPBH 2011 sudah sebulan berlalu namun masih terdapat usikan kononnya calon yang patut menang bagi kategori Artis Baru Wanita Popular

bukanlah Tasha, sebaliknya Neelofa ataupun Izara Aishah.

Tasha tidak menafikan pernah mendengar usikan itu, namun dia anggap kemenangannya itu sememangnya tidak pernah dijangka kerana Neelofa dan Izara Aishah juga mempunyai ramai peminat.

“Saya memang tak sangka menang. Tapi ia tidak mustahil kerana kemenangan ini bergantung kepada undian peminat sepenuhnya.

“Terima kasih tidak terhingga kepada peminat yang sentiasa beri sokongan sehingga saya memenangi anugerah ini.

“Kemenangan ini terlalu berharga buat saya dan ia amat membantu saya dalam meneruskan karier ini dengan lebih baik,” ujarnya gembira.

Tasha berazam akan bekerja lebih keras dalam memastikan kemenangan itu berbaloi, juga sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

“Tanpa sokongan mereka saya akui agak sukar mencapai kejayaan ini,” katanya.

Tasha mengaku agak cerewet memilih watak yang ditawarkan, namun dia ada alasan tersendiri untuk memelihara kariernya sebagai pelakon berkebolehan.

“Sebelum ini saya kerap diberi watak antagonis dan saya tidak mahu ia berterusan kerana risau peminat akan bosan dengan lakonan saya yang hanya diberi watak yang sama.

“Saya mahu lebih versatil dengan lakonan supaya dapat memberi impak kepada penonton,” katanya yang kini muncul dalam drama Friday I’m In Love.

Pelakon Takdir Yang Tertentu ini turut melahirkan hasrat mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan ke luar negara.

“Kalau Yuna boleh bawa bidang nyanyiannya ke peringkat antarabangsa, saya juga mahu harumkan negara dengan lakonan saya ke peringkat yang sama,” katanya.

Oleh Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21