Fyza 2 Kali Jadi Hantu


MALAYSIA, BERITA21 – Walaupun lebih meminati bidang nyanyian, tapi takdir menentukan Norhafiezzahi A Kadir mencipta nama terlebih dulu sebagai pelakon.

Pelakon baru yang mesra dengan sapaan Fyza ini menjadi pilihan pengarah untuk mendukung watak hantu dalam dua filem awal yang dibintanginya.

Pertemuan singkat anak kelahiran Pulau Mutiara ini dengan Shariman Wahap, penulis skrip MIG Productions, membuka peluang ia meneroka bidang baru sebagai anak seni.

Berbekalkan darah kacukan Melayu dan Malbari, Fyza, 27, diperkenalkan buat pertama kalinya menerusi filem Nongkrong.

Dia diberi watak pelakon pembantu tapi perlu menghidupkan watak hantu, satu tugas berat untuk menguji kemampuannya sebagai pelakon.

“Dalam filem Nongkrong saya bawakan watak Puteri Dua yang jelita bertukar menjadi wanita hodoh,” katanya.

Yakin dengan bakatnya, MIG Talent terus mengikat Fyza selama lima tahun, satu petanda kehadirannya diyakini mampu beri saingan dan diramal bakal menggegarkan dunia lakonan.

Selepas filem Nongkrong Fyza terus ditawarkan watak utama untuk filem Seram Sejuk. Sekali lagi Fyza menghidupkan watak seram, sebagai Mawar, wanita jelita yang mati dibunuh.

Bagaimanapun Fyza bersyukur, sepanjang membintangi dua filem itu dia tidak pernah hadapi apa-apa gangguan misteri walaupun wajahnya disolek menjadi hantu.

Lulusan Diploma Rekaan Fesyen dan Tekstil di MIA College ini sebenarnya mula mengorak langkah sulung dengan membintangi filem Senario Ops Pocot, diikuti drama bersiri Hanalulu.

“Saya bermula dengan watak kecil. Pernah muncul untuk satu babak saja, tetapi itulah yang menjadi pengalaman berguna,” ujarnya.

Fyza kemudian muncul dalam filem baru arahan Farid Kamil berjudul PE-3 dan filem baru arahan Ahmad Rusli Mohamed Khadri.

Fyza juga terbabit dalam projek filem 1 Lawan 1 arahan Pierre Andre dan filem Ajiboy.

Menuut Fyda, dia mulanya mahu jadi penyanyi, entah bagaimana ditawarkan pula jadi pelakon. Abang Shariman meyakinkannya mencuba dan terfikir juga kenapa tidak?

“Saya maklumkan kepadanya yang saya tidak pandai berlakon, tapi dia kata tidak mengapa, belajar daripada pengalaman. Ternyata ia memang pengalaman baru buat saya,” katanya.

Gembira mendapat sokongan padu daripada keluarga, Fyza akur dengan pesanan ibu agar menjaga nama baik keluarga.

“Saya mahu serius dalam bidang lakonan sebagai melunaskan impian arwah bapanya, Abdul Kadir Haji Mohd yang ingin lihatnya berjaya dalam bidang seni.

“Saya tidak mahu jual wajah, tapi ingin dikenali kerana bakat.

“Arwah ayah semasa hayatnya orang paling gembira bila mengetahui saya dan adik menjadi pelakon.

“Semasa menjalani penggambaran filem Adiboy di Melaka, sehari sebelum ayah nazak kami berbual dan dia sangat teruja mendengar cerita saya.

“Cuma arwah pesan jaga diri baik-baik dan elakkan sebarang kontroversi yang boleh mencalarkan maruah diri dan keluarga,” katanya yang mempunyai seorang adik juga pelakon filem, Nurshaieedah A Kadir atau Ieedah.

Oleh Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21