Ribuan Malaikat Sambut DJ Yatt Di Tanah Suci


MALAYSIA, BERITA21 – Penyampai radio stesen NasionalFM, Norhayati Abbas mengakui sukar melupakan beberapa peristiwa manis sewaktu berada di Mekah dan Madinah sebulan lalu ketika mengerjakan umrah.

Berkongsi pengalamannya itu, penyampai radio yang lebih mesra dengan panggilan deejay Yatt itu menyifatkan perjalanan menaiki bas dari Madinah ke Mekah sangat istimewa.

Sepanjang perjalanan bersama para tetamu Allah itu Yatt tidak henti-henti berzikir sambil mengharapkan keampunan Allah. Ketika itulah dia merasakan seolah-olah berada di dalam suasana amat berbeza.

“Saya lihat kebanyakan jemaah sedang lena mungkin kerana kepenatan kerana melalui penerbangan yang lama. Anehnya, saya tidak pula rasa letih atau mengantuk. Saya sentiasa rasa segar. Ketika itulah saya dapat rasai ada sesuatu yang aneh berlaku.

“Saya seolah-olah melihat ribuan mata Malaikat memandang ke arah saya di kiri dan kanan jalan raya, bagaikan merai dan menyambut kunjungan julung kali saya ini. Saya amat bersyukur kerana mengalami pengalaman yang cukup luar biasa ini. Tidak sia-sia doa saya sejak lima tahun lalu untuk sampai ke bumi para anbiya ini dimakbulkan Allah.

“Saya merasakan apa yang saya alami itu hadiah istimewa dariNya,” kata Yatt yang yakin Allah telah dibuka hijab hati dan matanya dapat melihat makhluk para malaikat.

Anak ketiga dari lima beradik kelahiran Tawau, Sabah yang kini menetap di Kuala Lumpur ini berharap ingatan manis itu terus subur dalam ingatannya sampai bila-bila.

Yatt yang sudah 10 tahun bergelar penyampai radio RTM, memulakan kariernya dengan stesen radio Klasik Nasional, diikuti MuzikFM, KLfm dan terbaru berhijrah ke NasionalFM sejak lima bulan lalu mengendalikan pelbagai segmen.

Selama 10 tahun itu pelbagai pengalaman pahit, manis ditempuhinya yang kini turut memenuhi jadual sebagai pengacara majlis rasmi kerajaan dan swasta. Dalam tempoh itu, Yatt yang mengendalikan segmen Santai, I.O.K (Intraktif Orang Kota) dan sebagainya, merasakan apa yang dilaluinya berjaya mematangkan hidupnya.

Bakal menyambut ulang tahun ke-41 pada 19 Mei ini, Yatt juga menganggap penghijrahan ke beberapa stesen radio memberi hikmah.

Baginya, penghijrahan dari stesen ke stesen radio lain menguji kemampuannya di samping belajar mengenali kerenah pendengar dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

Menamatkan pengajian dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 2001, Yatt kini menarik nafas lega kerana impiannya menunaikan umrah telah tercapai.

Yatt bersyukur kerana dapat berkongsi pengalaman sepanjang berada di Tanah Suci bersama Hajjah Naemah Ahmad, mantan penyiar di RTM selaku ketua rombongan.

“Kalau ada peluang saya nak berkunjung lagi ke Tanah Suci dalam usia muda seperti sekarang. Kali ini saya berdoa agar dipilih menunaikan haji pula,” katanya yang mengamalkan solat sunat dhuha bagi memudahkan segala urusan.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21