Sara Ali Artis Eksklusif


MALAYSIA, BERITA21 – Pelakon meningkat naik, Sara Ali, mengaku tidak suka menonjolkan diri sejak bergelar pelakon setahun lalu. Sara atau nama sebenarnya, Siti Sarah Hairi Ali, lebih selesa duduk di rumah jika tidak ada tugasan di lokasi.

Dia yang akan menyambut ulang tahun ke-22 pada 11 Oktober ini mahu mengikut jejak Maya Karin atau Datuk Sheila Majid yang gemar menghabiskan masa bersama keluarga.

Dilahirkan di Batu Pahat, Johor, Sara mula berlakon menerusi drama bersiri Wasiat di Astro Prima pada Julai tahun lalu, manakala filem pertama lakonannya pula ialah Penunggu Istana, diikuti Klip 3GP, Songlap, Sesuatu Yang Tertinggal, Nur Kasih The Movie dan terbaru, Jangan Pandang Pandang sebagai pelakon pembantu.

Pernah dicalonkan bagi kategori Pelakon Harapan Wanita dalam Festival Filem Malaysia ke-24 menerusi filem Nur Kasih The Movie, bagaimanapun Sara ditewaskan pelakon baru Nadiyatul Nisaa menerusi filem Cun.

Ikuti luahan isi hati pelakon lulusan ijazah seni bina Universiti Lim Kok Wing ini mengenai dakwaan beberapa pihak yang menuduhnya bersikap jual mahal dan enggan bekerjasama dengan media demi menjaga imejnya sebagai pelakon terkenal.

“SAYA tidak mahu terlalu menonjol diri di tempat awam untuk menjaga nilai eksklusif seperti yang dilakukan pelakon Maya Karin dan Datuk Sheila Majid.

Saya juga tidak mahu mudah dilihat di mana-mana, tetapi saya ingin masyarakat mengenali saya melalui karya yang dihasilkan.

Sejujurnya, saya mahu kekalkan nilai eksklusif pada diri. Kadang-kala, saya kurang faham dengan selera masyarakat tempatan yang menyukai seseorang artis itu kerana rupa atau bakat.

Justeru, pendekatan kurang menonjolkan diri ini dapat menunjukkan sejauh mana orang luar mengenali bakat saya di bidang lakonan ini.

Saya mengambil contoh terdekat idola saya, Maya Karin. Dia kurang menonjolkan diri bagi menjaga nilai eksklusifnya.

Saya juga mempunyai strateginya tersendiri dalam mengukuhkan lagi karier lakonan dan akan berhenti bergelar pelakon sebelum usianya mencecah 30 tahun.

Apa yang saya buat hari ini (berlakon) adalah satu proses pembelajaran semata-mata. Sebenarnya saya mempunyai impian untuk bergelar pengarah yang berjaya pada masa akan datang ini.

Kalau nak tahu, selain berlakon, saya juga banyak menghabiskan masa bekerja di belakang tabir. Insya-Allah, saya ingin menyambung pengajian di bidang perfileman di luar negara.

Setakat ini New York Film Academy (NYFA) merupakan impian utama saya. Doakan supaya saya dapat menyambung pelajaran di sana.

Saya akui tidak sabar untuk melihat reaksi penonton mengenai lakonan saya dalam filem Jangan Pandang Pandang.

Kalau lakonan saya kurang mantap atau tidak kelakar, tegurlah kerana saya suka ditegur. Cara ini dapat memperbaiki mutu lakonan saya pada masa hadapan.

Akhir sekali, saya harap lakonan saya berjaya mencuit hati penonton. Lebih-lebih lagi ia sebuah filem komedi, jadi sedikit sebanyak karakter komedi turut saya selitkan dalam filem ini.”

Zaini Zaa/Warta Perdana/Foto Suhaizul Azhar Ismail/Hatta Sanie/B21