Wawa Takut VIP


MALAYSIA, BERITA21 – Satu-satunya gosip paling ditakuti pelakon jelita Wawa Zainal jika ada pihak mengaitkannya mempunyai hubungan dengan VIP. Gosip sedemikian boleh menjejaskan kerjayanya sebagai pelakon.

“Saya ada vision besar sebagai pelakon. Saya mahu bina kerjaya berbekalkan bakat. Sebab itu saya paling takut dikaitkandengan mana-mana VIP,” kata gadis manis berasal dari Lahad Datu, Sabah ini.

Wawa atau nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin, 21, juga menolak sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan dirinya sedang menjalin hubungan dengan seorang ahli politik dari Sabah.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Lagipun saya tidak pernah mengenali mana-mana individu berprofil tinggi seperti diperkatakan.

“Saya tidak pernah keluar dengan mana-mana VIP, apatah lagi menjalin hubungan secara rahsia dengan golongan itu.

“Perkara ini sungguh tidak berasas dan memang tidak berlaku,” tambahnya dengan tegas.

Bagaimanapun Wawa mengaku ada beberapa VIP cuba mendekatinya dan pernah mengajaknya keluar, tetapi semuanya ditolak.

Sebab itu Wawa cuba menjauhkan diri dengan dengan mana-mana VIP kerana mahu merealisasikan impiannya menjadi pelakon berjaya.

“Lagipun, semua tindak-tanduk saya sentiasa dipantau oleh pihak pengurusan, jadi tidak mungkin saya akan buat perkara yang berisiko itu,” katanya.

Beberapa filem lakonan Wawa kini sedang menantikan slot tayangan seperti Seram Sejuk, Budak Pailang dan Ajinohmotor dan kini Wawa sedang sibuk di lokasi penggambaran telefilem Cahaya Iman.

“Saya bersyukur dengan perkembangan kerjaya saya yang semakin meningkat terutamanya tahun ini.

“Walaupun baru setahun setengah berkecimpung saya semakin mendapat kepercayaan pelbagai pihak.

“Pelbagai tawaran lakonan saya terima dan terbaru saya dilantik sebagai duta Lipice untuk tempoh dua tahun.

“Saya amat bersyukur dengan rezeki yang saya peroleh ini,” kata Wawa yang akan muncul dalam filem Pada Suatu Cinta Dahulu di samping aktor sensasi, Shaheizy Sam.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Foto Suhaizul Azhar Ismail/Hatta Sanie/B21