Kat Menggoda Hati Penggemar


MALAYSIA, BERITA21.com –  Sejak tersingkir dari program Mentor musim kedua pada 2006 Kat Hassan hampir berputus asa meneruskan impiannya menjadi penyanyi.

Ketika menyertai program itu, Kat mendapat bimbingan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza, selaku mentor. Bagaimanapun Kat gagal meneruskan saingannya.

Kegagalan itu meninggalkan kesan mendalam sehingga dia merasakan peluangnya bergelar artis rakaman sudah tertutup.

Tidak cukup dengan itu, Kat turut mengalami kemurungan hidup kerana hilang keyakinan meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi.

Sepanjang tiga tahun mengharungi detik kecewa itu, Kat atau nama sebenarnya, Siti Khatijah Hassan, 25, mengambil keputusan mengisi masa terluang dengan mencuba karier baru sebagai pelakon.

“Memang saya tak nafikan, tiga tahun pertama selepas menyertai Mentor tempoh yang menyakitkan. Saya murung dan sedih kerana berasa seperti tiada harapan jadi penyanyi,” katanya.

Kat yang ditemui selepas pelancaran album pertamanya, Menggoda di Hard Rock Cafe, baru-baru ini, berterima kasih kepada keluarganya kerana terus memberi sokongan moral.

“Saya bersyukur kerana ibu bapa, kakak saya iaitu Nourish dan abang ipar, Amy (Search) sentiasa berikan semangat untuk saya terus berusaha mencapai impian bergelar penyanyi.

“Demi memenuhi impian merakamkan album saya berusaha mengumpulkan wang hasil bayaran lakonan dan pada masa sama turut menerima tawaran persembahan pentas,” katanya.

Bercerita mengenai album yang mengambil masa enam tahun untuk dihasilkan itu, anak kelahiran Pulau Mutiara ini berkata, proses itu memakan masa yang lama kerana faktor kewangan.

“Sebab itu saya sepi daripada publisiti kerana sibuk dengan lakonan dan persembahan pentas di merata tempat.

“Kalau ikutkan, sepanjang enam tahun Kat tidaklah menyepi terus, masih menyanyi sikit-sikit selain berlakon.

“Kalau berlakon pun bukanlah peranan utama. Kebanyakan watak kecil saja, jadi seganlah nak bercerita pada umum.

“Selain berlakon dan menyanyi, Kat sekali-sekala timba pengalaman daripada pengurus Kat untuk mendalami selok-belok perniagaan,” katanya.

Drama pertama lakonannya berjudul Sayang Cendana yang turut dibintangi Juliana Evans, diikuti drama Sudu & Garfu, Kasih Marisha dan Rumah Orang Tua Cahaya.

Tahun lalu Kat melebarkan sayap lakonannya ke layar lebar apabila membintangi sekual Lagenda Budak Setan (LBS) 2 dan 3.

Mengenai album terbitan syarikat produksinya sendiri, Kath Entertainment ini memuatkan lima lagu iaitu Chiki, Hilang, Menggoda, Senjakala dan Lepaskan.

Album ini sudah berada di pasaran sejak 17 April lalu edaran Warner Music Malaysia.

“Sebelum ini Kat pernah buat percubaan menghasilkan album Chiki, namun kurang mendapat sambutan kerana segelintir pihak berpendapat lagu itu terlalu asing dari kehendak pendengar masa kini.

“Bagaimanapun Kat tak jemu mencari materials yang sesuai, akhirnya berjaya dapatkan dua lagu terbaik iaitu Menggoda dan Senjakala.

“Dua lagu ini bersesuaian dengan vokal Kat,” katanya yang mengharap lagu Menggoda betul-betul akan menggoda hati peminat.

Zaini Zaa/Foto by Suhaizul Azhar Ismail/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21