Shana Penat Main Hoore! Hoore!


MALAYSIA, BERITA21.COM – Pendatang baru, Nor Shazawana Razman, mengakui amat penat jadi pelakon. Dia juga merasa janggal dan ada kalanya agak kaku sewaktu pertama kali muncul di layar perak.

Justeru, anak kelahiran Labuan yang mesra dengan panggilan Shana ini sanggup menerima teguran ikhlas penonton yang menyaksikan filem pertamanya, Hoore! Hoore!

Shana yang memegang watak Lana, sebenarnya lebih menggemari muzik dan pernah muncul menyampaikan lagu Pardon Me sambil bermain gitar dalam persembahan Twisties Bingit 2008 anjuran radio HotFM.

Anak kedua daripada tiga beradik ini baru menyambut ulang tahun ke-23, bagaimanapun menganggap pembabitannya sebagai pelakon hanya suka-suka dan tidak berhasrat menjadikannya sebagai karier tetap.

“Saya berlakon filem Hoore! Hoore! kerana ia sebuah filem muzikal yang menghiburkan. Saya terbabit dalam filem ini kerana turut menyanyikan empat lagu.

“Apa yang dapat saya katakan, berlakon filem sangat memenatkan, namun saya dapat banyak ilmu daripada pelakon popular seperti Aznil Haji Nawawi, Adibah Nor, Harun Salim Bachik, Fauziah Nawi, Kilafairy dan Sahronizam Noor.

“Tetapi pengalaman paling manis dan menjadi kebanggaan saya ialah dapat menyanyikan lagu-lagu popular Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad,” katanya bangga.

Shana kini menetap bersama keluarga di Pandan Jaya, Ampang, Selangor, berharap peminat filem muzikal datang ke pawagam memberi sokongan dengan menonton filem arahan Saw Teong Hin.

Shana yang mempunyai berkebolehan bermain gitar, keyboard dan drum memilih muzik alternatif pop rock kerana lebih memberi kepuasan.

Single pertamanya, Hilang kini boleh didengari menerusi Youtube, lagu ini ditampilkan dalam genre kegemarannya, alternatif pop rock.

“Ayah seorang anggota tentera. Dia beri restu kepada saya memilih karier seni. Malah ibu turut menyokong aktiviti seni yang saya ceburi sejak empat tahun lalu.

“Saya bersyukur kerana impian menjadi anak seni tercapai,” kata penggemar masakan asam pedas dan minuman teh O ais.

Filem Hoore! Hoore! terbitan Astro Show dengan kerjasama Real Film, mula ditayangkan di pawagam sejak 24 Mei lalu, menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Janda Baik, Pahang.

Pelakon utama filem ini ialah Akim AF7 yang memegang watak Johari, manakala heroinnya, Farrah Nazirah memegang watak Nurul Aiman.

Kekuatan filem ini banyak bergantung pada lagu-lagu popular Sudirman seperti Bercanda Di Pasiran Pantai, Basikal Tua (Hidup Sederhana), Salam Terakhir, Kasih, Milik Siapa Gadis Ini dan sebagainya.

Lagu baru Idola nyanyian Azlan & The Typewriter dicipta khas oleh Audi Mok dan lirik oleh Dark, kini sedang mendapat tempat di beberapa stesen radio serta berada di dalam Carta Hit EraFM.

Sementara itu sutradara filem ini, Saw Teong Hin memperkenalkan ramai bakat baru. Mereka ialah Afi Faris, Shahila Shariff, Syafiqah Md Jemey, Mohamad Nabil dan Mohd Faiz.

Zaini Zaa/Foto Suhaizul Azhar Ismail/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21