Ikka Razman Bakal Bersinar


MALAYSIA, BERITA21 – Walaupun lebih setahun berjuang di pentas seni suara namun nama Ikka Razman masih belum dikenali. Namun, anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini tidak menganggap ujian itu mematahkan impiannya bergelar penyanyi popular.

Bagi Ikka, ia menjadi cabaran kepadanya agar lebih gigih berusaha dan merebut lebih banyak peluang muncul dalam pelbagai program terutamanya bertemu peminat.

Bersandarkan single terbarunya, Sayang Kau Mungkiri ciptaan Mie Kuarters, penyanyi yang menyambut ulang tahun pada 14 Mei lalu, yakin lagu itu mampu menjadi siulan ramai, khususnya pencinta irama balada pop.

Komposer terkenal, Fauzi Marzuki yakin lagu Sayang Kau Mungkiri nyanyian Ikka mampu menjadi lagu popular kerana mempunyai kekuatan tersendiri.

Fauzi yang turut terlibat dengan pembikinan sebagai mastering album ini menyifatkan vokal yang dimiliki Ikka sungguh mantap dan ada aura tersendiri.

Malah, kemerduan suara Ikka turut mendapat pujian beberapa artis lain, antaranya penyanyi popular Sheqal, Roslan Shah dan penyanyi era 60-an, Hussin Ismail ketika sesi pradengar lagu itu di Studio NAR Records.

Ikka sendiri mengaku setiap kali menyampaikan lagu Sayang Kau Mungkiri dia terasa begitu sebak sampai menitis air mata.

“Lagu ini benar-benar menyentuh hati dan perasaan Ikka.

“Insya-Allah, rakaman klip video lagu ini akan dimulakan penggambaraannya dan kalau tak ada apa halangan ia akan dilancarkan tidak lama lagi,” kata Ikka lagi.

Bagi penerbit album ini, Mieniery Entertainment, Datuk Paduka Azmi Zahari, lagu ini diciptanya sejak lima tahun lalu.

Beliau berharap dapat mengadakan majlis pelancaran lagu dan klip video ini yang akan disempurnakan oleh VVP sebaik sahaja ia disiapkan.

Ikka atau nama sebenarnya, Siti Fatimah Abd Rani, pernah merakamkan tujuh lagu sebelum ini dalam pelbagai genre menerusi lagu Amanah Buat Kekasih selain lagu Hawa, ciptaan Rosli Ahmad, Kesal, Mawar Putih Buat Mama dan sebagainya.

“Ikka akui ada sedikit perasaan kecewa terbuku di hatinya kerana masih kurang dikenali meskipun lebih setahun di pentas rakaman album.

“Sekalipun kurang mendapat publisiti namun ia tidak akan mematahkan semangat Ikka untuk terus berjuang di persada seni suara.

“Sebaliknya ia menjadi cabaran kepada Ikka memperbaiki persembahan. Bukan itu sahaja, Ikka akan rebut peluang muncul dalam pelbagai persembahan dan bertemu peminat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bersandarkan lagu terbarunya, Sayang Kau Mungkiri, Ikka sangat yakin kemunculan lagu ini di corong radio dapat meraih populariti, sekaligus namanya dikenali ramai.

Ikka mula menyanyi ketika berusia belasan tahun. Ketika itu dia sering muncul dalam persembahan Kombo Gelombang Biru TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) sebagai penyanyi utama hampir tujuh tahun.

Pernah bergelar juara Pertandingan Lagu Raya Klasik Nasional dan juara Nyanyian Kajang Idol pada 2010, Ikka kini lebih banyak mendapat undangan muncul dalam program karnival dan ekspo di seluruh tanah air.

Terbaru Ikka berduet dengan penyanyi popular era 80-an, Zaiton Sameon menerusi lagu Kabut Serangkai Mawar ketika mengadakan persembahan Malam Amal Zaiton Sameon di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Oleh: Zaini Zaa/Foto: Suhaizul Azhar Ismail/Lokasi: Hotel Adamson, Kuala Lumpur/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21