Nora & Fasha Saingan Sehat Rozita


MALAYSIA, BERITA21 – Pelakon manis bertahi lalat, Rozita Che Wan mengakui kehadirannya di persada lakonan drama TV sedikitpun tidak tergugat walaupun ramai pelakon muda, cantik dan berbakat muncul.

Sebaliknya, pelakon berusia 38 tahun itu merasakan pelakon seperti Nora Danish, Fasha Sandha dan Nur Fathia sebagai pesaing yang sihat.

Janda popular ini percaya masih mendapat tempat dalam dunia lakonan dengan watak lebih pelbagai dari semasa ke semasa.

“Tidak jadi masalah bagi saya. Lagipun lebih ramai pelakon baru muncul lebih baik.

“Ia jadi saingan yang sihat. Saya tidak pernah terfikir kehadiran mereka menggugat kerjaya seni saya.

“Saya yakin selagi ada tawaran, selagi itulah wajah dan lakonan saya dapat dilihat menghiasi layar skrin,” katanya.

Baginya kalau ada rezeki dan mendapat kepercayaan produser selagi itulah dia akan terus berlakon.

“Saya percaya kepada rezeki yang ditetapkan Allah. Kalau ada rezeki dan ditawarkan, saya akan terus berlakon. Begitulah sebaliknya.

“Kita lihat saja sampai mana rezeki saya. Lagipun, saya tidak merancang. Biarlah semuanya berjalan seperti biasa tanpa perlu dirancang,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian cawangan baru kedai emas Habib Jewels dan Pandora di Paradigm Mall, Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Rozita yang lebih mesra dengan panggilan Che Ta berkata, kehidupan sehariannya juga tetap sibuk dengan keluarga dan berlakon drama serta telefilem sehingga November ini.

Dia yang baru selesai penggambaran telefilem Kasihnya Qasih, kini kembali semula ke lokasi drama bersiri 13 episod berjudul Cinta Octopus yang turut dibintangi Fahrin Ahmad dan Nabil Raja Lawak.

“Insya-Allah, saya juga terbabit menjayakan penggambaran drama 52 episod terbitan RTM selain muncul dalam rancangan Oh My English di Astro dan bual bicara Semanis Kurma,” katanya yang menjadi duta produk kecantikan wanita.

Bagaimana pelakon jelita ini masih merindui berada di set penggambaran filem. Sehingga kini Rozita sudah berlakon sembilan filem termasuk yang terbaru, Misteri Dendam Balan The Movie yang akan ditayangkan penghujung tahun ini.

Dia yang disenaraikan ‘Top 5’ Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) baru-baru ini, melahirkan perasaan bersyukur kerana tetap diiktiraf berada dalam golongan pelakon terbaik dan popular.

“Saya tidak kecewa kerana masih berada dalam kalangan pelakon dikenali ramai.

Belum masanya saya dinobatkan sebagai pemenang,” tambahnya.

Rozita yang tampil menawan di majlis perasmian itu merasa terharu kerana berpeluang bekerjasama dengan jenama tersebut.

Dia berharap bisnes barang kemas yang diusahakan Pengarah Urusan Habib Jewels, Datuk Meer Sadik Habib dan isterinya, Datin Zarida Noordin, terus mendapat sambutan penggemar batu berlian.

Zaini Zaa/Foto by Suhaizul Azhar Ismail/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21